PENGENALAN
Teknologi generasi kelima (Fifth-Generation—5G) ialah teknologi rangkaian selular generasi terkini dan merupakan salah satu bidang dalam telekomunikasi bertujuan membolehkan penghantaran maklumat secara wayarles yang lebih pantas, lebih dipercayai (reliable) dan lengah masa (latency) lebih rendah berbanding generasi terdahulu. Ia dijangka berupaya merevolusikan pengalaman harian kita dan membuka pelbagai peluang di masa hadapan.

Rajah 1 Evolusi Generasi Rangkaian Selular.
Sumber: Malaysian Technology Development Corporation (MTDC)
Berdasarkan kajian yang telah dilakukan oleh syarikat Ericsson, pengguna rangkaian 5G diramalkan akan mencecah sehingga lima bilion di seluruh dunia menjelang 2028.

Rajah 2 Jangkaan Langganan Rangkaian 5G, 4G, 3G dan 2G
Sumber: Laporan Mobiliti Ericsson 2022
PIAWAIAN BERKAITAN TEKNOLOGI RANGKAIAN SELULAR
Terdapat beberapa piawaian yang digunakan mengikut generasi rangkaian selular. Antaranya adalah:
Second-Generation (2G)
- Global System for Mobile Communication (GSM) Digital Advance Mobile Phone System (D-AMPS) Interim Standard 95 (IS-95)
- GeneralPacketRadioService(GPRS)
- EnhancedDataforGlobalEvolution(EDGE)
Third-Generation (3G)
- Code-DivisionMultipleAccess(CDMA)
- UniversalMobileTelecommunicationsSystem(UMTS)
- HighSpeedPacketAccess(HSPA)
- EvolvedHighSpeedPacketAccess(HSPA+)
4G
- LongTermEvolution(LTE)
- LongTermEvolutionAdvanced(LTE-A)
- WorldwideInteroperabilityforMicrowaveAccess(WiMAX)
5G
- NewRadio(NR)
Jadual 1 Piawaian Teknologi Berdasarkan Generasi Rangkaian Selular

CIRI-CIRI RANGKAIAN SELULAR 5G
Dalam rangkaian 5G kawasan perkhidmatan dibahagikan kepada kawasan geografi kecil yang dipanggil sel. Semua peranti wayarles 5G dalam sel disambungkan melalui gelombang radio ke antena di menara pemancar. Antara kelebihan utama rangkaian 5G adalah ia mempunyai ciri Enhanced Mobile Broadband (eMBB) yang mampu memberikan kelajuan muat turun sehingga 10 gigabit sesaat (Gbit/s) iaitu 100 kali lebih pantas berbanding 4G.
Selain itu, teknologi rangkaian 5G mempunyai ciri yang menyokong Massive Machine Type Communication (mMTC) yang membolehkan sehingga satu juta peranti disambungkan setiap kilometer persegi, keupayaan ini secara tidak langsung membolehkan pelaksanaan Internet Benda (Internet of Things—IoT) pada skala lebih besar di Malaysia.
Ciri seterusnya adalah Ultra-Reliable Low Latency Communication (URLLC) yang akan membolehkan reaksi menghampiri masa nyata dicapai di antara peranti/aplikasi yang dihubungkan. Teknologi rangkaian 5G juga menyokong Network Slicing yang membolehkan pengasingan rangkaian selular secara logikal dan penggunaan lebih fleksibel.
Ciri Fixed Wireless Access (FWA) pula akan membolehkan teknologi 5G ini digunakan untuk menyediakan sambungan jalur lebar antara dua titik tetap tanpa memerlukan sambungan berwayar atau fizikal. Ini membolehkan liputan jalur lebar berkelajuan tinggi dan berkapasiti tinggi dibekalkan kepada kawasan luar bandar yang sering tidak mendapat perkhidmatan rangkaian selular.

Rajah 3 Antena Ujian FWA 5G
Ujian yang dijalankan pada frekuensi gelombang milimeter (mmWave) 28GHz, berjaya mencapai kelajuan satu Gigabit sesaat (Gbps) pada jarak rekod 11.18 kilometer menggunakan FWA antena radio di Butterworth, Pulau Pinang.

Rajah 4 Diagram Rangkaian Selular 5G
PELAKSANAAN 5G DI MALAYSIA
Kerajaan Malaysia telah menetapkan penggunaan kaedah Single Wholesale Network (SWN) untuk pelaksanaan rangkaian selular 5G di negara ini. Penggunaan model SWN dijangka dapat membantu pihak kerajaan dalam menjimatkan kos pelaksanaan 5G dan akan membantu meringankan beban pengguna. Sekiranya setiap syarikat penyedia perkhidmatan membuat infrastruktur sendiri, ia akan mengakibatkan implikasi terhadap kos pelaksanaan dan menjadi kurang efisien daripada aspek kos (harga tidak mampu milik) kepada pengguna. Menerusi model SWN yang dikendalikan oleh syarikat Digital Nasional Berhad (DNB), perkhidmatan 5G tidak akan menggunakan konsep pengoperasi berbeza untuk infrastruktur berbeza (different operators different infrastructures), sebaliknya menekankan tentang ‘one single owner‘ supaya perkhidmatan diberi lebih efisien dan dapat mengurangkan kos. Dengan kaedah ini, pemasangan dan pelancaran teknologi 5G akan lebih cepat dan capaian liputan akan lebih meluas, dengan matlamat utama menggalakkan rakyat untuk menikmati teknologi ini. Syarikat DNB menggunakan konsep Multi-Operator Core Network (MOCN) untuk melancarkan pelaksanaan rangkaian selular 5G di Malaysia.

Sumber: DNB 5G Products & Services Indicative Roadmap
Jadual 3 Status Pelaksanaan Rangkaian Selular 5G Malaysia

Sumber: Sumber: Bilik Berita DNB, Liputan 5G di seluruh Negara, 2 Januari 2023
Jadual 4 Kualiti Perkhidmatan Rangkaian 5G

Nota: RAN: Radio Access Network
POI: Point of Interface
UE: User Equipment
Sumber : DNB Reference Access Offer
PERANTI YANG DISOKONG OLEH INFRASTRUKTUR 5G DI MALAYSIA
Secara amnya tidak semua peranti atau telefon mudah alih dibina bersama antena yang menyokong rangkaian selular 5G, dan tidak semua peranti atau telefon mudah alih yang menyokong rangkaian 5G boleh beroperasi dalam persekitaran rangkaian 5G di Malaysia. Syarikat DNB tidak memberi perakuan atau meluluskan peranti 5G. DNB hanya menyediakan kemudahan untuk pengilang menjalankan ujian seperti ujian statik awal, serta laluan ujian untuk membolehkan ujian pemanduan di jalan raya supaya peranti boleh dihubungkan dan perisian dikemas kini agar serasi dengan rangkaian 5G di Malaysia.
Pensijilan peranti diterajui oleh Standard and Industrial Research Institute of Malaysia (SIRIM) — di bawah bimbingan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) — sebagaimana prosedur standard. Pengguna digalakkan untuk menyemak dengan penyedia perkhidmatan dan/atau pengeluar peranti mereka untuk mendapatkan peranti berkemampuan 5G yang terbaik. Namun bagi memudahkan pengguna, semakan senarai peranti yang boleh digunakan dalam persekitaran rangkaian 5G di Malaysia boleh dibuat pada portal DNB melalui pautan https://www.digital-nasional.com.my/ms/interactive-map#contmenu1
Senarai peranti 5G Apple yang boleh digunakan dalam persekitaran rangkaian 5G di Malaysia adalah:
iPhone 12 Mini, iPhone 12, iPhone 12 Pro, iPhone 12 Pro Max, iPhone 13 Mini, iPhone 13, iPhone 13 Pro, iPhone 13 Pro
Max, iPhone SE (2022), iPhone 14, iPhone 14 Plus, iPhone 14 Pro, iPhone 14 Pro Max.
Senarai peranti 5G Samsung yang boleh digunakan dalam persekitaran rangkaian 5G di Malaysia adalah:
Galaxy S20 FE 5G, Galaxy S21 5G, Galaxy S21+ 5G, Galaxy S21 Ultra 5G, Galaxy S22 5G, Galaxy S22+ 5G, Galaxy S22 Ultra 5G, Galaxy Z Flip3 5G, Galaxy Z Flip4, Galaxy Z Fold2 5G, Galaxy Z Fold3 5G, Galaxy Z Fold4, Galaxy A22 5G, Galaxy A33 5G, Galaxy A42 5G, Galaxy A53 5G, Galaxy A73 5G, Galaxy M23, Galaxy M33, Note 20 5G, Note 20 Ultra 5G, S20 Ultra 5G, Galaxy S23, Galaxy S23+, Galaxy S23 Ultra 5G.
Senarai peranti 5G Xiaomi yang boleh digunakan dalam persekitaran rangkaian 5G di Malaysia adalah:
10T, 11 Lite 5G NE, 11T, 11T Pro, Mi10, Mi10 Pro, Mi10T Pro, Mi11, Mi11Ultra, Poco F2 Pro, Poco F3, Poco M3 Pro 5G, Poco M4 Pro 5G, Redmi Note 10 5G, Xiaomi 12 Pro, Xiaomi 12, Mi Note 11 Pro+ 5G, Mi Note 11S 5G, Mi Note 11 Pro 5G, Poco F4 GT, Poco F4, Xiaomi 12 Lite 5G, Poco M4 5G, Xiaomi Poco X4 Pro 5G, Xiaomi 12T, Xiaomi 12T Pro.
IMPAK TEKNOLOGI 5G KEPADA EKONOMI
Pelaksanaan rangkaian 5G di Malaysia dijangka memberi impak yang positif secara keseluruhannya. Keberhasilan rangkaian 5G mengikut sektor adalah seperti yang berikut:


Rajah 5 Penggunaan IoT juga dijangka terus meningkat seiring dengan perkembangan 5G
Sumber: Global Mobile Suppliers Association (GSA) 2022
Secara keseluruhan, pelaksanaan teknologi rangkaian selular 5G akan memberi kesan yang positif terhadap pelaksanaan teknologi IoT dalam banyak cabang dan sektor-sektor lain. Keadaan ini akan menambah ruang dan peluang dalam meningkatkan tawaran produk, kecekapan operasi, perkhidmatan, daya saing dan seterusnya membolehkan pertumbuhan ekonomi negara yang lebih mampan. Perancangan strategik perlu disusun rapi bagi memastikan pelaksanaan inisiatif-inisiatif berkaitan pendigitalan berjalan dengan lancar, di samping memastikan objektif yang telah ditetapkan dapat dicapai dan faedah pelaksanaan dapat dinikmati bersama.
RUJUKAN
Digital Nasional Berhad, (2023). “Pelaksanaan 5G Di Malaysia”. https://www.digital-nasional.com.my/ (dicapai pada 22 Januari 2023).
MTDC (2018). “Evolusi Rangkaian Selular”.
https://ms-my.facebook.com/mtdcmalaysia/photos/evolusi-rangkaian-1g-2g-3g-4g-dan-5gmtdc malaysia/2291078377631506/ (dicapai pada 22 Januari 2023).
Ericsson (2022). “Laporan Mobiliti Ericsson 2022”. https://www.ericsson.com/4ae28d/assets/local/reports-papers/mobility-report/documents/2022/ ericsson-mobility-report-november-2022.pdf (dicapai pada 22 Januari 2023).
Pendakwah Teknologi (2023). “Teknologi Rangkaian 5G”. https://www.youtube.com/watch?v=ydQDaeWJGYM (dicapai pada 2 Februari 2023).
Hazwan Faisal Mohamad (2022). “Rangkaian 5G Malaysia Pecah Rekod Dunia Kelajuan Jarak Jauh”. https://www.bharian.com.my/bisnes/teknologi/2022/12/1035967/rangkaian-5g-malaysia-pecah
-rekod-dunia-kelajuan-jarak-jauh (dicapai pada 2 Februari 2023).
Ts. Dr. Mohamed Nasrun Osman (2022). “Teknologi 5G Di Malaysia: Konsep Pelaksanaan dan Impaknya”. https://www.bernama.com/bm/ tintaminda/news.php?id=2113191 (dicapai pada 10 Februari 2023).

