Daripada Mata Pena Ketua Editor
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, Salam Malaysia MADANI dan Salam Malaysia Digital,
Alhamdulillah, dengan limpah kurnia Allah SWT, Jabatan Digital Negara (JDN) berjaya menerbitkan e-Buletin Kerajaan Digital sebagai medium perkongsian maklumat, inisiatif serta pencapaian pendigitalan yang dilaksanakan oleh kementerian dan jabatan dalam sektor awam.
Edisi terkini e-Buletin Kerajaan Digital ini diterbitkan sebagai platform perkongsian ilmu dan wacana strategik yang menghimpunkan pelbagai penulisan, pandangan serta pengalaman daripada warga sektor awam, pemain industri dan ahli akademik. Setiap sumbangan mencerminkan usaha kolektif dalam meneroka idea baharu, berkongsi amalan terbaik serta memperkayakan pelaksanaan inisiatif Kerajaan Digital.
Dalam landskap digital yang semakin dinamik dan mencabar, kandungan e-Buletin Kerajaan Digital ini dirangka bagi mendokumentasikan perjalanan serta pencapaian pendigitalan sektor awam, di samping menjadi medium rujukan yang konstruktif dalam berkongsi cabaran, peluang dan inovasi digital yang sedang serta bakal dilaksanakan. Diharapkan perkongsian yang diketengahkan dapat mencetuskan pemikiran strategik dan menyokong usaha penambahbaikan berterusan dalam penyampaian perkhidmatan kerajaan.
Seiring dengan kemajuan pesat teknologi digital seperti kecerdasan buatan (AI), automasi dan penggunaan data secara meluas, e-Buletin ini turut menyediakan ruang perbincangan mengenai inovasi digital yang selamat, beretika dan memberi nilai tambah kepada perkhidmatan awam. Pendekatan ini penting bagi memastikan inisiatif teknologi digital terus berpaksikan kepentingan awam serta memelihara kepercayaan rakyat.
Saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua penulis dan penyumbang atas perkongsian idea dan kepakaran yang diberikan. Penghargaan turut ditujukan kepada pasukan editorial yang telah bertungkus lumus memastikan penerbitan e-Buletin Kerajaan Digital ini dapat direalisasikan dengan jayanya.
Akhir kata, saya berharap e-Buletin Kerajaan Digital ini dapat dimanfaatkan sebagai sumber inspirasi, rujukan dan platform perkongsian ilmu, di samping menggalakkan lebih banyak penyertaan dan sumbangan pada edisi-edisi akan datang.
Selamat membaca.
MOHD. ZAMRI BIN SELAMAT
Ketua Editor
Ketua Perunding (Trek Strategis)
Jabatan Digital Negara

