Data dan Kecerdasan Buatan

Data Berkualiti, Teras AI yang Diyakini

Share:

Abstrak
Kecerdasan buatan atau artificial intelligence (AI) semakin menjadi pemangkin penting dalam memperkukuh agenda transformasi digital sektor awam. Teknologi ini berupaya meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan, mempercepat analisis maklumat, menyokong pembuatan keputusan berasaskan data, dan memperluas inovasi pentadbiran yang lebih responsif kepada keperluan rakyat. Walau bagaimanapun, keberkesanan AI amat bergantung pada satu asas yang kukuh, iaitu data yang berkualiti serta tadbir urus data yang mantap. Dalam konteks sektor awam, data bukan sahaja berfungsi sebagai sumber maklumat, malah merupakan aset strategik yang menentukan ketepatan, kebolehpercayaan dan integriti sesuatu sistem AI. Artikel ini menghuraikan hubungan antara kualiti data dengan prestasi AI, peranan tadbir urus data dalam menyokong penggunaan AI yang berkesan dan bertanggungjawab, serta langkah strategik bagi memperkukuh kesiapsiagaan sektor awam ke arah pendigitalan yang lebih matang. Artikel ini menegaskan bahawa kejayaan AI dalam kerajaan tidak hanya bergantung pada teknologi, tetapi juga pada keupayaan institusi mengurus data secara sistematik, berintegriti dan berwawasan. Dengan tadbir urus data yang baik, sektor awam mampu memanfaatkan AI secara lebih yakin, selamat dan memberi impak tinggi kepada rakyat.

Kata kunci: kecerdasan buatan, tadbir urus data, sektor awam, kerajaan digital, kualiti data

Abstract
Artificial intelligence (AI) is increasingly becoming a key catalyst in strengthening the digital transformation agenda of the public sector. This technology has the potential to improve service delivery efficiency, accelerate information analysis, support data-driven decision-making, and expand administrative innovation that is more responsive to citizens’ needs. However, the effectiveness of AI depends greatly on a strong foundation, namely high-quality data and robust data governance. In the public sector context, data is not merely a source of information, but also a strategic asset that determines the accuracy, reliability, and integrity of AI systems. This article discusses the relationship between data quality and AI performance, the role of data governance in supporting effective and responsible AI adoption, and the strategic measures needed to strengthen public-sector readiness toward more mature digitalisation. The article argues that the success of AI in government depends not only on technology, but also on the institutional capacity to manage data systematically, with integrity and foresight. With sound data governance, the public sector will be better positioned to harness AI with confidence, safety, and high impact for society.


Keywords: artificial intelligence, data governance, public sector, digital government, data quality

Pengenalan
Transformasi digital sektor awam kini berkembang dengan lebih pesat seiring dengan aspirasi kerajaan untuk meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan, memperkukuh pengurusan berasaskan data serta memenuhi jangkaan rakyat terhadap perkhidmatan yang lebih pantas, tepat dan mudah diakses. Dalam landskap ini, AI muncul sebagai antara teknologi yang berpotensi tinggi dalam mempercepat pelaksanaan transformasi positif pentadbiran sektor awam. Organisation for Economic Co-operation and Development [OECD] (2025) menyatakan bahawa penggunaan AI dalam sektor awam boleh meningkatkan produktiviti, menambah baik responsiviti perkhidmatan dan memperkukuh akauntabiliti kerajaan apabila dilaksanakan bersama asas governans yang sesuai.

AI membuka ruang kepada pelbagai bentuk penambahbaikan dalam pentadbiran kerajaan. Teknologi ini berupaya membantu dalam menganalisis data berskala besar, mempercepat pemprosesan maklumat, menyokong automasi tugasan rutin serta membolehkan pegawai memberi tumpuan kepada tugas bernilai tinggi yang memerlukan pertimbangan dan kepakaran profesional. Dalam konteks kerajaan digital, AI bukan sekadar dilihat sebagai alat teknologi, malah berperanan sebagai pemacu baharu dalam memperkukuh kualiti pembuatan keputusan, menambah baik pengalaman pengguna dan mempercepat inovasi dalam penyampaian perkhidmatan awam.

Namun demikian, kejayaan pelaksanaan AI tidak hanya bergantung pada keupayaan model, platform atau aplikasi yang digunakan. Asas sebenar yang menyokong keberkesanan AI ialah data. AI bergantung pada data untuk mengenal pasti corak, menjana cadangan dan menyokong keputusan. Oleh itu, data yang tepat, lengkap, konsisten dan terkini akan membantu AI berfungsi dengan lebih baik dan lebih dipercayai. Dalam erti kata lain, keberkesanan pelaksanaan AI bergantung secara langsung kepada kualiti data yang digunakan. Rajah 1 menunjukkan hubungan antara data, tadbir urus, AI dan perkhidmatan awam.

Dalam konteks Malaysia, komitmen ke arah penggunaan AI yang selamat dan bertanggungjawab telah diperkukuh melalui National Guidelines on Artificial Intelligence Governance and Ethics (AIGE) yang menekankan pembangunan dan penggunaan AI secara selamat, beretika dan bertanggungjawab. Di samping itu, sektor awam juga telah memperkenalkan Garis Panduan Pengadaptasian Kecerdasan Buatan (AI) Sektor Awam yang menghuraikan definisi AI, prinsip etika, peranan aktor AI, tatacara penggunaan dan pengurusan risiko. Langkah ini menunjukkan bahawa kerajaan bukan sahaja terbuka kepada inovasi, malah beriltizam memastikan AI dilaksanakan atas asas tadbir urus yang kukuh (Jabatan Digital Negara, 2026; Kementerian Digital, 2026; Malaysia Government Portal, 2024).

Data sebagai Asas kepada Keberkesanan AI
AI berfungsi melalui pembelajaran, analisis dan inferens yang berpaksikan data. Justeru, kualiti sesuatu sistem AI sangat dipengaruhi oleh kualiti data yang digunakan dalam pembangunan dan operasinya. Data yang lengkap, tepat, relevan dan seragam akan membantu AI menghasilkan output yang lebih konsisten dan boleh diyakini. Sebaliknya, data yang tidak tersusun, tidak dikemas kini atau tidak seragam boleh menjejaskan keberkesanan AI serta mengurangkan nilai dan manfaat yang ingin dicapai oleh organisasi.

Dalam sektor awam, data merangkumi pelbagai domain penting seperti sumber manusia, kewangan, pendidikan, kesihatan, keselamatan, kebajikan dan pengurusan perkhidmatan. Kepelbagaian domain ini menjadikan data kerajaan sebagai aset strategik yang bernilai tinggi dalam menyokong perancangan, pembuatan keputusan dan penyampaian perkhidmatan awam. Oleh itu, usaha memperkukuh pengurusan dan kualiti data perlu dilihat sebagai pelaburan jangka panjang bagi menyokong pelaksanaan AI yang lebih berkesan dan bukan sekadar memenuhi keperluan teknikal semasa.

UNESCO (2025b) menegaskan bahawa tahap kesiapsiagaan AI sesebuah negara tidak hanya ditentukan oleh teknologi, tetapi turut bergantung kepada kekuatan ekosistem tadbir urus, termasuk pengurusan data yang bertanggungjawab dan berintegriti. Penilaian kesiapsiagaan AI Malaysia yang diterbitkan oleh UNESCO turut  menekankan kepentingan struktur tadbir urus, ekosistem dasar serta keupayaan institusi dalam menyokong penggunaan AI yang mampan.

Tadbir Urus Data sebagai Pemacu Kematangan Digital
Tadbir urus data merujuk kepada pengurusan data secara sistematik melalui pelaksanaan dasar, penetapan peranan, pematuhan piawaian, penyelarasan proses serta mekanisme kawalan yang jelas dan berkesan. Dalam organisasi yang matang dari aspek digital, tadbir urus data memastikan data diurus dengan konsisten, selamat dan teratur, di samping boleh diakses oleh pihak yang dikuasa serta digunakan  selaras dengan tujuan dan peraturan yang ditetapkan. Tadbir urus data turut membantu memastikan data sentiasa mempunyai konteks yang jelas, sumber data dapat dijejaki dengan tepat serta proses penyelenggaraan data dapat dilaksanakan secara lebih teratur dan sistematik.

Dalam sektor awam, tadbir urus data bukan sekadar melibatkan aspek teknikal,  malah merupakan komponen penting dalam pengurusan strategik organisasi. Kejelasan mengenai pemilikan data, peranan penjaga data, kaedah pengesahan data, proses pengemaskinian serta mekanisme perkongsian data antara fungsi dan agensi akan menentukan tahap kebolehpercayaan, kebolehgunaan dan keberkesanan penggunaan data tersebut. Apabila tadbir urus data mantap, organisasi akan lebih bersedia untuk melaksanakan AI dengan lebih yakin dan tersusun.

OECD (2025) meletakkan data sebagai salah satu pemboleh utama bagi pelaksanaan AI yang boleh dipercayai dalam kerajaan, di samping aspek tadbir urus, infrastruktur digital, kemahiran, pelaburan, perolehan dan kerjasama strategik. Perkara ini mengukuhkan hakikat bahawa data bukan sekadar elemen sokongan kepada AI,  malah merupakan komponen teras yang membolehkan AI memberi impak yang signifikan terhadap pelaksanaan fungsi dan penyampaian perkhidmatan kerajaan.

Kepentingan Tadbir Urus Data dalam Kejayaan AI Kerajaan
Tadbir urus data merupakan faktor penentu menentukan kejayaan pelaksanaan AI kerajaan, khususnya dalam memastikan keberkesanan pelaksanaan merentas sekurang-kurangnya empat dimensi utama. Pertama, tadbir urus data membantu meningkatkan ketepatan dan kebolehpercayaan output AI. Dalam persekitaran kerajaan, ketepatan maklumat merupakan aspek amat penting kerana ia berkait rapat dengan pengurusan operasi, analisis prestasi, sokongan kepada proses pembuatan keputusan dan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat. Tadbir urus data yang dilaksanakan secara teratur dan berkesan membolehkan sistem AI menghasilkan analisis, ramalan dan cadangan yang lebih tepat, konsisten serta diyakini.

Kedua, tadbir urus data memperkukuh keseragaman dan integrasi antara sistem. Sektor awam lazimnya mempunyai pelbagai sistem yang dibangunkan bagi tujuan yang berbeza. Pelaksanaan standard data yang baik, dokumentasi yang jelas serta pengurusan metadata yang tersusun, mampu meningkatkan keupayaan integrasi data antara sistem. Keadaan ini seterusnya membolehkan pelaksanaan analitik yang lebih menyeluruh dan memperkukuh penggunaan AI bagi menghasilkan nilai tambah yang lebih signifikan kepada kerajaan.

Ketiga, tadbir urus data menyokong ketelusan dan akauntabiliti. Penggunaan AI, khususnya dalam sektor awam, memerlukan data yang boleh dijejaki sumbernya serta difahami konteks penggunaannya bagi memastikan kebolehpercayaan dan ketepatan analisis yang dihasilkan. . AIGE menekankan elemen seperti keselamatan, etika, pengurusan risiko dan tanggungjawab dalam pembangunan serta penggunaan AI, sekali gus memperlihatkan bahawa kepercayaan terhadap AI perlu dibina di atas asas tadbir urusyang jelas (Malaysia Government Portal, 2024). Rajah 2 menunjukkan kerangka asas tadbir urus AI sektor awam yang diadaptasi daripada AIGE.

Keempat, tadbir urus data membantu membina keyakinan awam. Keyakinan rakyat terhadap penggunaan kecerdasan buatan (AI) dalam perkhidmatan kerajaan akan meningkat apabila data diurus secara teliti, dilindungi dengan sewajarnya serta digunakan secara bertanggungjawab dan beretika.  Dalam konteks ini, tadbir urus data berperanan sebagai asas utama dalam membina kepercayaan, manakala kepercayaan tersebut merupakan faktor penting bagi memastikan penerimaan dan keberkesanan penggunaan teknologi dalam sektor awam.

Sektor Awam Sedang Memperkukuh Asas Data untuk AI
Sektor awam Malaysia sedang bergerak ke arah kematangan digital yang lebih tinggi melalui pelbagai inisiatif berkaitan governans, standard, etika dan adaptasi AI. Pelancaran AIGE pada 2024 dan penyediaan Garis Panduan Pengadaptasian AI Sektor Awam menunjukkan pendekatan kerajaan yang proaktif dan terancang bagi memastikan penggunaan AI berlaku secara bertanggungjawab. Garis panduan sektor awam tersebut meliputi prinsip etika AI, peranan dan tanggungjawab aktor AI, tatacara penggunaan dan pengurusan risiko, yang mencerminkan kesediaan institusi untuk mengimbangi inovasi dengan tadbir urus (Jabatan Digital Negara, 2026; Kementerian Digital, 2026).

Perjalanan transformasi digital sememangnya memerlukan proses penyesuaian, penambahbaikan dan penyelarasan berterusan. Dalam konteks ini, usaha memperkukuh pengurusan dan tadbir urus data bukanlah mencerminkan kelemahan, sebaliknya  menunjukkan komitmen sektor awam dalam membina asas yang mampan bagi memastikan teknologi dapat dimanfaatkan dengan berkesan dan berintegriti. Pendekatan sebegini lebih bernilai berbanding penggunaan teknologi secara terburu-buru tanpa persediaan yang mencukupi.

Pendekatan berasaskan tadbir urus ini selaras dengan pandangan di peringkat antarabangsa yang menekankan keperluan kerajaan untuk membangunkan mekanisme kawal selia yang sesuai, menggunakan pendekatan berasaskan risiko, dan memastikan AI disokong oleh struktur tadbir urus yang memacu inovasi secara selamat dan dipercayai (OECD, 2025).

Langkah Strategik Memperkukuh Tadbir Urus Data
Bagi memastikan AI dapat dimanfaatkan secara optimum dalam sektor awam, beberapa langkah strategik boleh terus diberi penekanan. Pertama, agensi boleh memperjelas struktur pemilikan dan tanggungjawab data. Setiap data penting perlu dikenal pasti pemiliknya, pihak yang bertanggungjawab menyelenggara, serta pihak yang diberi kuasa untuk mengakses dan menggunakannya. Kejelasan dalam penetapan peranan dan tanggungjawab ini akan membantu memastikan data diurus, dikawal dan dikemas kini dengan lebih sistematik.

Kedua, agensi boleh memperkukuh standardisasi data dan metadata. Penggunaan definisi, format, kod rujukan dan dokumentasi yang seragam akan memudahkan perkongsian serta integrasi data antara sistem. Standardisasi ini juga akan menyokong penggunaan AI pada skala yang lebih luas dan lebih konsisten. Rajah 3 menunjukkan komponen tadbir urus yang membantu membina asas AI selamat, berkualiti dan diyakini.

Ketiga, amalan pengurusan kualiti data secara berterusan perlu diperkasa. Amalan ini termasuk semakan kesempurnaan data, pemantauan ketekalan, pengesahan maklumat, pengurusan rekod berganda dan pemantauan penunjuk kualiti data dari semasa ke semasa. Usaha sedemikian memastikan AI disokong oleh data yang benar-benar bernilai.

Keempat, organisasi perlu memperkukuh literasi data dan AI dalam kalangan penjawat awam. Teknologi yang baik memerlukan pengguna yang memahami konteks, batasan dan nilai penggunaannya. Oleh itu, pembangunan kapasiti sumber manusia perlu berjalan seiring dengan pembangunan teknologi. OECD (2025) turut menekankan kepentingan kemahiran sebagai salah satu pemboleh utama bagi kejayaan penggunaan AI dalam kerajaan.

Kelima, penggunaan AI perlu terus dipandu oleh prinsip etika, keselamatan, semakan manusia dan pengurusan risiko. Garis panduan sektor awam Malaysia turut memberi penekanan terhadap prinsip etika dan pengurusan risiko dalam pelaksanaan AI dan menyediakan asas yang kukuh bagi pembangunan dan penggunaan AI yang bertanggungjawab dalam penyampaian perkhidmatan kerajaan (Jabatan Digital Negara, 2026).

AI Berkualiti untuk Perkhidmatan Awam yang Lebih Cekap
Apabila data diurus dengan baik, potensi AI dalam sektor awam menjadi jauh lebih besar. AI boleh membantu mempercepat semakan dokumen, memudahkan pencarian maklumat, memperkukuh analitik prestasi, meningkatkan ketepatan ramalan, serta menyokong interaksi yang lebih pantas dengan pengguna melalui sistem bantuan digital. Dalam semua keadaan ini, kualiti data merupakan faktor utama yang membezakan antara penggunaan AI yang hanya berfungsi secra asas berbanding AI yang mampu memberi impak signifikan kepada organisasi dan penyampaian perkhidmatan kerajaan.

Penggunaan AI yang disokong oleh tadbir urus data yang mantap berupaya membantu sektor awam beralih daripada pendekatan pengurusan berasaskan proses kepada sistem pentadbiran yang lebih proaktif, pintar dan responsif. Perkara ini selaras dengan aspirasi kerajaan digital yang menekankan aspek keberkesanan penyampaian perkhidmatan, pengoptimuman sumber, serta peningkatan pengalaman rakyat dalam berurusan dengan agensi kerajaan. Rajah 4 menunjukkan penggunaan AI dalam sektor awam.

Lebih penting, AI yang dibangunkan atas data yang berkualiti dan ditadbir dengan baik berupaya meningkatkan mutu pembuatan keputusan tanpa mengabaikan aspek kemanusiaan, pertimbangan profesional dan tanggungjawab institusi. Dalam konteks ini, AI bukan bertujuan menggantikan peranan penjawat awam, sebaliknya berfungsi sebagai pemangkin untuk memperkukuh keupayaan mereka dalam penyampaian perkhidmatan yang lebih cekap, tepat dan bernilai tinggi kepada rakyat. OECD (2025) turut menegaskan bahawa manfaat AI dalam kerajaan berkait rapat dengan keupayaannya meningkatkan produktiviti dan responsiviti, sambil mengekalkan nilai kepercayaan dan akauntabiliti awam.

AI mempunyai potensi besar untuk memperkukuh kecekapan dan keberkesanan sektor awam. Namun, kejayaan penggunaan AI tidak boleh dipisahkan daripada kekuatan asas data yang menyokongnya. Dalam konteks ini, tadbir urus data merupakan elemen penting yang memastikan data dapat diurus secara tersusun, selamat, konsisten dan bernilai tinggi.

Bagi sektor awam, usaha memperkukuh tadbir urus data bukan sekadar persediaan teknikal, tetapi langkah strategik ke arah kerajaan digital yang lebih matang, berintegriti dan diyakini. Apabila data diurus dengan baik, AI dapat dimanfaatkan secara lebih optimum untuk menyokong penyampaian perkhidmatan, memperkukuh analitik dan membantu pembuatan keputusan yang lebih tepat.

Kesimpulan
Kesimpulannya, masa depan penggunaan AI dalam sektor awam bergantung pada keupayaan organisasi membangunkan asas data yang kukuh, berkualiti dan ditadbir secara berkesan. Dengan sokongan data yang berkualiti dan tadbir urus yang mantap, sektor awam akan lebih bersedia untuk memanfaatkan AI secara bertanggungjawab, berkesan dan memberi impak positif yang berterusan dalam usaha meningkatkan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat serta memperkukuh pembangunan negara. Prinsip ini wajar dijadikan pegangan bersama dalam pelaksanaan transformasi digital sektor awam: data berkualiti melahirkan AI berkualiti dan AI berkualiti menyokong kerajaan digital yang lebih cekap, berintegriti dan dipercayai.

Rujukan
Kementerian Digital. (2026, February 25). Launch ceremony of the public sector artificial intelligence (AI) adaptation guidelines. https://www.digital.gov.my/en-GB/siaran/Majlis-Peluncuran-Garis-Panduan-Pengadaptasian-Kecerdesan-Buatan-%28AI%29Sektor-Awam

Jabatan Digital Negara. (2026). Garis panduan pengadaptasian AI sektor awam. https://www.jdn.gov.my/garis-panduan-pengadaptasian-ai-sektor-awam/

Malaysia Government Portal. (2024). National guidelines on artificial intelligence governance and ethics (AIGE). https://www.malaysia.gov.my/en/my-initiative/whole-government-digital-services/tadbir-urus/national-guidelines-on-artificial-intelligence-governance-and-ethics-aige

Organisation for Economic Co-operation and Development. (2025). Governing with artificial intelligence. OECD Publishing. https://www.oecd.org/en/publications/2025/06/ governing-with-artificial-intelligence_398fa287.html

UNESCO. (2025a). Data governance in the digital age. https://www.unesco.org/ethics-ai/en/global-hub

UNESCO. (2025b). Malaysia: Artificial intelligence readiness assessment report. https://unesdoc.unesco.org/ark:/48223/pf0000395618

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *