ICT Strategik

Keupayaan Dan Keberkesanan Penggunaan Pendidikan Digital Di Sekolah Luar Bandar

Share:

PENGENALAN

Penggunaan pendidikan digital dalam abad ke 21 merupakan aspek penting yang perlu diperkasakan, terutama sebagai medium pengajaran dan pembelajaran.  Dalam era globalisasi kini, keupayaan seseorang dalam bidang pendidikan digital mampu mengubah segala aspek kehidupan termasuklah gaya hidup seseorang individu. Kemudahan masa kini yang merentas zaman telah mewujudkan pelbagai medium yang boleh diguna pakai, antaranya ialah Gmail, Google Chat, Google Drive, Google Classroom, Google Meet, Canva dan sebagainya. Ianya menjadi alat komunikasi yang pantas dan alat bantuan pengajaran dan pembelajaran. Tambahan juga, pelantar pembelajaran yang telah dibina oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sebagai medium pembelajaran murid abad ke 21 iaitu DELIMa juga memberi galakan kepada murid untuk menguasai kemudahan pendidikan. Tambahan itu juga dalam era Revolusi Industri 4.0 ini, keupayaan pendidikan digital amat diperlukan bagi mempersiapkan murid dengan cabaran yang akan datang. Oleh hal yang demikian, keupayaan pendidikan digital ini perlu dipertingkatkan sejak daripada sekolah rendah lagi secara menyeluruh tidak kira di sekolah bandar mahupun di sekolah luar bandar.

      Terdapat beberapa inisiatif yang telah dilaksanakan oleh pihak sekolah bagi memperkasakan pendidikan digital ini. Inisiatif ini bertujuan untuk mengekang jurang antara murid bandar dan juga murid luar bandar.  Antara inisiatif yang dilaksanakan ialah:

  1. Jadual pembelajaran menggunakan komputer.
  2. Penggunaan Google Classroom
  3. Pendedahan penggunaan aplikasi Canva
  4. Pembinaan Program WOW (Wonderfull on Window)

Inisiatif yang dilaksanakan ini bukan sahaja memberi pendedahan awal kepada murid tentang pendidikan digital, namun memberi galakan kepada guru-guru di sekolah luar bandar ini semangat dan dorongan untuk memperkasakan pendidikan digital.

STRATEGI PELAKSANAAN

Penggunaan teknologi dalam sistem pendidikan perlu dipertingkatkan terutama dalam penyampaian maklumat di dalam bilik darjah. Keperluan ini penting kerana untuk menyelaraskan sistem pendidikan sekolah dengan kemajuan yang semakin berkembang pesat pada masa kini. Kecenderungan murid dalam penggunaan gajet dan aplikasi media sosial kini yang menjadi pendorong kepada perlunya pendidik mengaktifkan penggunaan pendidikan digital. Perkara ini dapat mengekang murid daripada perkara yang negatif dan dapat mendorong murid untuk berfikir lebih kreatif dan inovatif.

      Pendidikan berkualiti adalah kemahiran dan keupayaan seseorang guru tentang kefahaman terhadap konsep pedagogi yang digunakan dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Ini kerana sistem pendidikan yang berkesan dipengaruhi oleh pengalaman pembelajaran yang diterapkan oleh guru kepada murid. Pendekatan dan kaedah yang dilaksanakan haruslah pelbagai dan memberi pengalaman yang menarik kepada murid tersebut dan seterusnya dapat memupuk kecerdasan kepada seseorang murid dan meningkatkan potensi murid dengan lebih optimum. Oleh yang demikian, pelbagai strategi dan kaedah yang dilaksanakan dalam memastikan pendidikan digital ini dapat dinikmati oleh murid, terutama murid luar bandar.

Rajah 1: Graf peratus log masuk email murid di pelantar DELIMa

Graf di atas menunjukkan peratusan penggunaan email murid di dalam pelantar DELIMa KPM. Peratusan yang diperoleh daripada carta ini menggambarkan bahawa keupayaan murid luar bandar mampu menggunakan aplikasi digital ini sebagai medium pembelajaran mereka di sekolah. Namun begitu terdapat juga murid yang masih belum mengaktifkan email mereka, ini kerana murid tersebut masih berada pada Tahun 1 dan memerlukan bimbingan yang sepenuhnya dalam pelaksanaan penggunaan digital. Keupayaan murid dalam melaksanakan aktiviti pembelajaran ini dapat dipertingkatkan jika strategi yang disenaraikan berupaya dilaksanakan oleh tenaga pengajar dengan lebih baik dan efisien. Usaha dalam memastikan murid mempertingkatkan kemahiran mereka di dalam penggunaan digital adalah satu usaha yang perlu dipandang tinggi. Hal ini kerana, keupayaan dan kemampuan murid luar bandar ini adalah terhad disebabkan kemudahan yang dapat dinikmati adalah di sekolah sahaja.

         Tambahan itu juga, sokongan dan dorongan daripada pelbagai pihak juga merupakan strategi yang digunakan untuk meningkatkan keupayaan guru dan murid dalam pendidikan digital ini. Bimbingan kepada guru dan murid dilaksanakan bagi memberi pendedahan yang lebih optimum.

KESAN KEPADA MURID

Terdapat beberapa kesan yang dapat dilihat jika penggunaan pendigitalan ini dipertingkatkan dalam kalangan murid luar bandar. Keupayaan murid dalam penggunaan Google Classroom lebih meluas dan kemahiran pendigitalan semakin tinggi. Keupayaan penggunaan Google Classroom mampu menghubungkan guru dan murid secara terus di alam maya. Murid berpeluang melaksanakan tugasan secara maya di sekolah atau di rumah. Dengan kemudahan yang diberikan oleh pihak sekolah menerusi Program Wonderful On Window (WOW) iaitu program jalinan dan jaringan yang dilaksanakan bersama pihak Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI). Program ini membuka peluang kepada murid untuk hadir ke sekolah pada hujung minggu atau cuti sekolah untuk melaksanakan tugasan menggunakan kemudahan internet yang disediakan. Oleh hal demikian, keupayaan pendidikan digital dapat dipertingkatkan.

         Perkembangan ini juga memberi kesan dari aspek pemikiran murid. Keupayaan pemikiran perlu selari dengan pendidikan digital yang diterapkan. Keupayaan murid dalam menguasai beberapa kemahiran asas pendigitalan dapat dilihat menerusi aktiviti editing yang disertai di peringkat daerah dan juga di peringkat sekolah. Penggunaan aplikasi Canva dan tinkercad telah menambah kemahiran murid dalam teknologi pendigitalan. Pemikiran ini dapat membentuk generasi fasih digital yang diimpikan oleh kerajaan dan sekaligus dapat melonjakkan kualiti pendidikan negara dan menjadi yang terbaik di dunia. Selain itu, keupayaan guru juga dapat dipertingkatkan dan adanya pembangunan professional pihak yang berkepentingan serta merapatkan jurang digital antara sekolah bandar dan juga sekolah luar bandar.

CABARAN

Sejak tahun 2014, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah memperkenalkan pembelajaran berasaskan Information dan Communication Technology (ICT). Pelaksanaan latihan dan kursus telah diberikan kepada guru-guru bagi mengendalikan perkakasan komputer dan aplikasi berkaitan bagi kesiapsiagaan guru memandu murid mereka tentang kemahiran digital. Namun begitu terdapat beberapa cabaran yang harus ditempuh dan ditangani oleh guru dalam menghadapi pendidikan digital masa kini. Antara cabaran yang dihadapi oleh guru adalah tahap kesediaan murid terutama murid luar bandar ini terhadap pendidikan digital yang diterapkan. Hal ini kerana keupayaan pemikiran murid adalah berbeza mengikut tahap pembelajaran murid. Perbezaan ini menyebabkan keupayaan pembelajaran digital agak sukar dilaksanakan.             Tambahan itu juga, kemudahan infrastruktur digital yang kurang di sekolah juga, menyebabkan penggunaan teknologi tersebut harus digunakan secara minimum. Penggunaan bilik komputer terhad mengikut giliran dan kapasiti murid yang masuk. Tambahan itu juga, kurang tenaga mahir dalam mengendalikan aplikasi komputer. Keupayaan guru perlu dititik beratkan bagi mewujudkan guru yang mahir dalam pendigitalan ini. Kemahiran ini tidak seharusnya tertumpu kepada guru ICT sahaja, namun diperluaskan kepada guru-guru lain bagi memastikan proses pengajaran dan pembelajaran yang dilaksanakan berjalan lancar dengan penerapan pendidikan digital. Justeru itu, usaha kerajaan melalui KPM untuk menambah baik infrastruktur digital adalah amat wajar bagi memastikan kejayaan pelaksanaan pendidikan digital ini boleh dikecapi oleh setiap lapisan masyarakat.

PENUTUP

Pendidikan sihat adalah pendidikan yang memberi impak positif terhadap perkembangan pemikiran murid. Penggunaan teknologi digital dalam pengajaran dan pembelajaran akan berkembang maju seiring dengan perkembangan teknologi yang tiada sempadan dan batasan. Tambahan itu juga, dasar pendidikan digital yang dirangka adalah bagi memupuk bakat digital yang berpengetahuan, berkemahiran dan beretika dalam penggunaan teknologi digital masa kini. Penggunaan digital yang seimbang dari aspek rohani dan intelektual dapat membentuk generasi yang menggunakan teknologi digital dengan berdisiplin dapat wujud unsur negatif seperti buli siber, pemalsuan maklumat, pemalsuan identiti dan sebagainya. Oleh itu, usaha yang padu harus dipertingkatkan oleh setiap lapisan organisasi, masyarakat dan individu dalam memastikan pendidikan digital terutama di kawasan luar bandar.

RUJUKAN

Hanafi Atan, (2012). Pendidikan Maklumat Dan Komunikasi Dalam Pembelajaran Berpusatkan Pelajar (Penerbit USM) Siri Syarahan Umum Perlantikan Profesor, Pelantikan 2006. Penerbit USM.

Noor Azizah Noorashid. Revolusi Industri 4.0: Impak Terhadap Perkembangan Pendidikan Tinggi Di Malaysia. Journal Of Sciences And Management Research 2600-738x. Fakulti Pendidikan Dan Sains Sosial, Widad University College, Bim, 25200 Kuantan Pahang, Malaysia.

Norliza Ahmad & Zaharah Osman. (2025). Kepentingan Pengetahuan Guru Dalam Pelaksanaan Pedagogi Terbeza Di Prasekolah. Jurnal Pendidikan Awal Kanak-Kanak Kebangsaan, Jilid, 14 (1), 2025 (1-11) (ISSN 2289-3032 / EISSN 2550-178x).

Aminamul Saidah Mad Nordin , Bity Salwana Alias  , Zamri Mahamod . Pendigitalan Pendidikan. Jurnal Penyelidikan Pendidikan Dan Teknologi Malaysia (JPPTM) ISSN (Online): 2976-2634 Volume:1 Issue: 1

Noradilah Binti Aziz & Lai Wei Sieng. Impak Pendidikan Berasaskan Teknologi Terhadap Peningkatan Prestasi Pelajar Di UKM. Jurnal Personalia Pelajar 22(1): 69-75

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *