Revolusi digital dan teknologi yang pantas telah menyumbang kepada pengumpulan dan penggunaan data yang pesat. Data yang dikumpulkan apabila digabung dan digunakan bersama dengan data lain berpotensi untuk mencipta data atau pengetahuan baharu yang boleh digunakan untuk menghasilkan inovasi baharu. Dalam konteks sektor awam, data yang dikumpulkan oleh pelbagai agensi adalah saling melengkapi antara satu sama lain dan meningkatkan keupayaan sektor awam dalam menawarkan perkhidmatan yang lengkap selari dengan keperluan pelanggan. Selain menyumbang kepada pengenalpastian inovasi baharu ke arah merealisasikan aspirasi Kerajaan Digital, pengalaman pelanggan (customer experience) dan produktiviti agensi juga dapat ditingkatkan berikutan usaha pengumpulan hanya dibuat oleh sebuah agensi tertentu sahaja dan pelanggan tidak perlu memberikan data yang sama berulang kali. Selari dengan strategi digital semasa untuk meningkatkan perkhidmatan digital berkonsepkan keseluruhan kerajaan (Whole of Government), integrasi sistem-sistem aplikasi yang menyokongmperkhidmatan yang ditawarkan memerlukan berlakunya perkongsian data terutamanya antara agensi sektor awam.
Perkongsian data sektor awam bermaksud agensi sektor awam berkongsi data secara selamat dengan agensi sektor awam, komuniti perniagaan, rakyat dan penjawat awam bagi tujuan mengoptimumkan potensi data (MAMPU, 2021). Salah satu faktor kritikal yang menyumbang kepada kejayaan perkongsian data sektor awam adalah penggunaan standard yang menyokong interoperability sebagaimana yang digambarkan dalam Rajah 1.

Rajah 1 Pemudah Cara Perkongsian Data Sektor Awam
Standard yang Menyokong Interoperability bermaksud standard ditetapkan dan digunakan dalam memastikan
interoperability iaitu keupayaan sistem aplikasi untuk berkomunikasi atau berintegrasi dengan sistem aplikasi yang lain.
STANDARD DAN KEPENTINGANNYA
Jabatan Standard Malaysia melalui pemakaian Akta Standard Malaysia 1996 (Akta 549) mendefinisikan standard sebagai dokumen yang dibangunkan secara konsensus dan diluluskan oleh badan yang diiktiraf. Ia memperuntukkan untuk kegunaan biasa dan berulang (common and repeated) sama ada dalam berupa peraturan (rules), garis panduan (guidelines) atau ciri aktiviti atau keputusan, yang bertujuan mencapai tahap optimum dalam konteks tertentu. Secara umum, terdapat lima tahap standard iaitu standard antarabangsa, serantau, kebangsaan, pertubuhan dan industri/syarikat/dalaman. Standard kebangsaan untuk Malaysia dikenali sebagai Malaysian Standard (MS).
Merujuk kepada Salge, F. (1999), perkataan “standard” digunakan untuk merujuk kepada sesuatu yang dipersetujui bersama yang berkaitan sesuatu takrifan atau spesifikasi bagi membolehkan pengukuran sesuatu proses atau unit yang konsisten. Manakala, standard dalam bidang ICT merujuk kepada spesifikasi teknikal atau gaya yang diterima oleh pengguna dan diterima pakai oleh pembekal (Gartner, 2023). Sebagai contoh, Hypertext Markup Language (HTML) dan Hypertext Transfer Protocol (HTTP) masing-masing ialah standard yang digunakan berkaitan dengan pembangunan laman web/aplikasi berasaskan web dan komunikasi data agar semua pelayar web dapat memaparkannya secara konsisten dan pengoperasian laman web berjalan dengan lancar.
Secara umum, standard juga menjadi asas dalam penghasilan produk baharu dengan ciri-ciri baharu. Dalam konteks pemakaian standard peringkat global, produk atau perkhidmatan yang menggunakan standard yang selari dengan standard antarabangsa adalah lebih mudah diterima pakai dan boleh digunakan di mana sahaja dan pada bila-bila masa. Dalam erti kata lain, menerima pakai standard dapat memastikan keteraturan, kebolehpercayaan dan keselamatan.
STANDARD DATA
Kepentingan data tidak dapat dinafikan. Sebagaimana seseorang individu amat memerlukan data dan maklumat untuk membantu beliau membuat sesuatu pertimbangan dan keputusan, begitu juga sektor awam. Data ialah aset penting kepada sektor awam. Kepentingan data secara jelas diterangkan dalam Data-Information-Knowledge-Wisdom (DIKW) Hierarchy/Pyramid seperti di Rajah 2 yang dipelopori oleh Ackoff (1989) yang kemudiannya diadaptasi oleh penyelidik-penyelidik lain dalam kajian mereka.

Rajah 2 Data-Information-Knowledge-Wisdom (DIKW) Hierarchy/Pyramid
Rajah 2 menjelaskan perhubungan antara empat blok, iaitu Data, Information, Knowledge dan Wisdom iaitu setiap blok akan menjadi asas kepada blok di atasnya. Data ialah blok yang paling asas yang tidak mempunyai nilai sehinggalah ia diproses berdasarkan konteks tertentu. Data yang telah diproses, disusun dan dianalisis akan membentuk maklumat (information) yang seterusnya akan membentuk pengetahuan (knowledge) setelah diberi makna tertentu dan digunakan. Blok paling atas adalah kebijaksanaan (wisdom) yang terbentuk apabila pelbagai pengetahuan digabungkan untuk tujuan penilaian atau pembuatan keputusan.
Standard data ialah satu set garis panduan atau spesifikasi yang mentakrifkan kaedah sesuatu data distruktur, disimpan, diproses, diguna dan disampaikan dalam sesuatu konteks bagi tujuan memberikan makna data yang konsisten kepada sistem aplikasi dan organisasi (HDR UK, 2020, Jeppesena et al., 2017). Pada asasnya, standard data adalah sesuatu kerangka ataupun struktur data yang memudahkan kebolehoperasian data, iaitu keupayaan sistem aplikasi yang berbeza berkomunikasi dan berkongsi data dengan lancar dan mudah. Selain itu, standard data juga merangkumi pelbagai aspek pengurusan data, seperti format data, elemen data, penamaan data, kamus data, keperluan kualiti data dan protokol pertukaran data. Standard data juga boleh dibangunkan pada peringkat antarabangsa, kebangsaan, persatuan, atau industri mengikut tahap standard yang berkenaan. Contoh standard data ialah ISO 19115-1: 2014 Geographic Information – Metadata – Part 1-Fundamentals untuk data geospatial, ISO/IEC 27001 Information Security Management Systems untuk pengurusan keselamatan maklumat dan ISO/IEC 30161-1 Internet of things (IoT) – Data exchange platform for IoT services – Part 1: General requirements and architecture.
Gal & Rubinfeld (2019) menjelaskan bahawa standard data adalah perlu kerana ia meningkatkan pemahaman mengenai sesuatu data dan membantu dalam penggunaan sesuatu data oleh pihak yang akan menggunakannya. Standard data membantu meningkatkan interoperability data dan boleh dianggap sebagai syarat kepada pengintegrasian data antara pihak yang terlibat.
Penggunaan standard data berasaskan standard antarabangsa seperti International Classification of Diseases (ICD) dan Systemized Nomenclature of Medicine – Clinical Terms (SNOMED ICT) iaitu melalui inisiatif Informatik Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah memberikan banyak kelebihan kepada KKM seperti kemudahan pelaporan dan perbandingan data yang konsisten dan kemudahan integrasi dengan pelbagai sistem kesihatan di Malaysia. ICD ialah standard klasifikasi penyakit di bawah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang digunakan untuk tujuan perbandingan penyakit di seluruh dunia, termasuk di Malaysia. Manakala, SNOMED CT di bawah SNOMED International adalah salah satu standard maklumat kesihatan untuk kegunaan sistem rekod perubatan elektronik dan analitik kesihatan. Penggunaan standard yang dibangunkan oleh satu pihak yang diiktiraf (ICD oleh WHO, SNOMED CT oleh SNOMED International), amatlah penting bagi menjamin keteraturan dan kebolehpercayaan di samping menjimatkan penggunaan sumber manusia dan kewangan.
Penggunaan standard data dalam perkhidmatan sektor awam terutamanya dalam menyediakan perkhidmatan yang melibatkan data daripada pelbagai agensi amat penting kerana tanpa standard, pengintegrasian sistem akan menjadi kompleks, mengambil masa dan kos yang tinggi. Ketiadaan standard data boleh menjejaskan penyediaan perkhidmatan merentas agensi yang berkonsepkan keseluruhan kerajaan (Whole of Government). Agensi yang berpegang kepada standard masing-masing menyebabkan data sukar dikongsikan dan seterusnya mengehadkan penyebaran dan penggunaan data kepada agensi-agensi lain.
STANDARD DATA DAN PERKONGSIAN DATA
Salah satu cabaran dalam perkongsian data sektor awam adalah kepelbagaian interpretasi, format dan data rujukan. Data yang tidak mengikut standard akan memerlukan alat (tools) dan aktiviti tambahan tertentu untuk mentransformasi data kepada bentuk yang dikehendaki. Selain memerlukan kos tambahan dan masa, transformasi data ini juga memerlukan semakan data yang lebih mendalam terutamanya apabila terdapat data yang hilang semasa dalam proses transformasi berkenaan. Transformasi data memerlukan sumber yang intensif (resource-intensive activity) dan akan membebankan agensi. Sehubungan dengan itu, agensi sektor awam perlu menggunakan standard data sebagai panduan dalam penggunaan semula data merentas agensi seterusnya meningkatkan daya cipta berasaskan data.
Standard data membantu memudah cara dan menambah baik penggunaan data dengan meningkatkan interoperability data. Merujuk kepada DAMA-DMBOK2 DataManagementFramework, integrasi dan interoperabilityadalah salah satu komponen utama dalam rangka kerja pengurusan data (DAMA International, 2017). Integrasi dan interoperability menjelaskan proses berkaitan pergerakan dan konsolidasi data. Selain itu, standard data juga dikaitkan dengan Data Dictionary atau dikenali juga sebagai repositori metadata. Data dictionary menetapkan struktur dan kandungan sesuatu set data. Ia boleh digunakan untuk menguruskan nama, keterangan, struktur dan attribute lain bagi sesuatu elemen data (DAMA International, 2017).
DATA DICTIONARY SEKTOR AWAM, PENGGUNAAN DAN KEPENTINGANNYA
Kerajaan telah memperkenalkan inisiatif Data Dictionary Sektor Awam (DDSA) pada tahun 2002 yang merupakan standard data yang menjelaskan definisi sesuatu elemen/terminologi data, format (label, saiz dan jenis medan) serta data rujukan standard. Antara objektif utama DDSA adalah untuk membantu agensi sektor awam dalam melaksanakan pengintegrasian sistem dalam dan antara agensi, memudahkan perkongsian data serta membantu agensi sektor awam bagi pembangunan sistem aplikasi. Elemen standard data DDSA yang terdiri daripada elemen data generik dan spesifik yang dibangunkan oleh 11 Kumpulan Kerja adalah seperti di Rajah 3. Contoh standard data DDSA pula adalah seperti di Rajah 4.


Standard DDSA yang dikendalikan melalui Sistem DDSA boleh dicapai pada pautan http://sddsa.mampu.gov.my/. Sungguhpun inisiatif ini telah berusia 21 tahun ianya masih lagi digunakan dan dirujuk oleh pengguna yang terdiri daripada penjawat awam dan orang awam.
Selari dengan arahan dalam Pekeliling Am Bil. 2 Tahun 2002–“Penggunaan dan Pemakaian Data Dictionary Sektor Awam (DDSA) Sebagai Standard di Agensi-Agensi Kerajaan”, DDSA ialah rujukan penting bagi agensi sektor awam. Sehubungan dengan itu, standard data DDSA perlu dikelola dengan baik bagi memastikan ia kekal relevan.
Standard ialah “living document”, sehubungan dengan itu, ia perlu sentiasa dipantau dan dikemas kini. Cabaran yang dihadapi dalam menyediakan standard data adalah penyediaan metadata, data rujukan dan pengurusan versi standard data yang boleh menjadi kompleks, mengambil masa yang lama dan boleh berlaku ralat. Selain itu, perkembangan trend dan teknologi berteraskan data juga memberi cabaran baharu kepada pembangunan standard data dalam sektor awam.
PENUTUP
Standard data menjadi semakin penting selari dengan pendigitalan dan kemunculan teknologi baharu. Kepelbagaian data disatukan oleh satu standard data melalui interpretasi, format dan data rujukan yang sama. Standard menyatukan data-data ke arah tatakelola yang lebih baik bagi menangani halangan perkongsian data ke arah integrasi data yang berkesan. Seluruh ekosistem dalam negara perlu menggunakan satu standard agar data-data yang diperlukan dapat digunakan dalam penyampaian perkhidmatan yang lengkap dan bersepadu untuk merancakkan pembangunan negara.
RUJUKAN
Ackoff, R. L. (1989). From data to wisdom. J. Appl. Syst. Anal. 16:3–9.
DAMA International. (2017). DAMA-DMBOK2 Data Management Body of Knowledge. 2nd Edition. Technics Publications.
Gal, M.S., Rubinfeld, D.L., (2019). Data Standardization. Law & Economics Research Paper Series: Working Paper No. 19 – 17, New York University School of Law.
Gartner. (2023). Information Technology Gartner Glossary. Retrieved
December 14, 2022, from the World Wide Web: https://www.gartner.com/en/information-technology/glossary/standards.
Grannis, S.J., Xu, H., Vest, J.R., Kasthurirathne, S., Bo, N., Moscovitch, B., Torkzadeh, R., Rising, J. (2019) Evaluating the effect of data standardization and validation on patient matching accuracy. Journal of the American Medical Informatics Association, 26(5), 2019, 447–456.
Health Data Research UK (HDR UK). (2020). Principles for Data Standards. Health Data Research, United Kingdom. Jabatan Standard Malaysia. (2023). Mengenai standard. Retrieved December 14, 2022, from the World Wide Web:
Jeppesena, J.H., Ebeidb, E., Jacobsena, H.R., Toftegaarda, S.T., (2018). Open geospatial infrastructure for data management and analytics in interdisciplinary research. Journal of Computers and Electronics in Agriculture, 145, 130-141.
Pusat Geospatial Negara. (2023). Polisi dan standard. Retrieved December 24, 2022, from the World Wide Web: https://www.mygeoportal.gov.my/ms/polisi-dan-standard.
Salge, F. (1999). National and international data standards. In P. A. Longley, M. F. Goodchild, D. J. Maguire, D. W. Rhind (Eds.), Geographical Information Systems (pp. 693–706). London: John Wiley and Sons, Inc.
Tedeschi, L. O. (2019). Mathematical modeling in ruminant nutrition: approaches and paradigms, extant models, and thoughts for upcoming predictive analytics. Oxford University Press.
Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia, Jabatan Perdana Menteri. (2021, Ogos).
Pekeliling Kemajuan Pentadbiran Awam Bilangan 2 Tahun 2021 – “Dasar Perkongsian Data Sektor Awam”, Retrieved December 30, 2022, from the World Wide Web:
https://dasar.mampu.gov.my/search-g/result?q=perkongsian+data. MAMPU.
Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia, Jabatan Perdana Menteri. (2002, September).
Pekeliling Am Bil. 2 Tahun 2002 – “Penggunaan dan Pemakaian Data Dictionary Sektor Awam (DDSA) Sebagai Standard di Agensi-Agensi Kerajaan”. Retrieved December 30, 2022, from the World Wide Web: https://dasar.mampu.gov.my/search-g/result?q=ddsa. MAMPU.

