Tadbir Urus ICT

Kajian Persekitaran Perkongsian Data Sektor Awam ke Arah PenggubalanAkta Perkongsian Data

Pengenalan

Kerajaan memberi tumpuan kepada inisiatif perkongsian data sebagai langkah strategik untuk merangsang pertumbuhan ekonomi negara. Nilai data memainkan peranan utama dalam menyusun metodologi baharu, merungkai hubungan kompleks dalam isu tertentu, pengagihan dana dan subsidi secara terancang serta berperanan dalam langkah-langkah pencegahan krisis sebelum terjadi. Tanpa ketersediaan data yang holistik dan akses yang menyeluruh, kemampuan pembuatan keputusan dan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat boleh terjejas.

Amalan perkongsian data merentas agensi Kerajaan mempunyai pelbagai faedah antaranya memudahkan tadbir urus dan pembuatan keputusan penyampaian perkhidmatan awam yang cekap. Perkongsian data membolehkan agensi Kerajaan mempunyai akses kepada set data yang lebih luas dan seterusnya meningkatkan kebolehupayaan. Perkongsian data membolehkan kerajaan memacu pertumbuhan ekonomi dan inovasi dengan menyediakan sumber yang berharga untuk perniagaan, penyelidik, dan usahawan; menyokong inisiatif pendigitalan perkhidmatan kerajaan; meningkatkan penyampaian perkhidmatan; menyokong membuat keputusan berasaskan bukti; meningkatkan kecekapan dan keberkesanan; dan meningkatkan keselamatan awam.

Bagi merealisasikan hasrat tersebut Jabatan Digital Negara dengan kerjasama Perunding daripada IIUM Consultancy and Innovation Sdn. Bhd. dan agensi-agensi utama Kerajaan telah melaksanakan kajian Persekitaran Perkongsian Data bagi mengenal pasti kesediaan, memahami kelompongan dan kelemahan yang terdapat dalam undang-undang, dasar dan inisiatif perkongsian data sektor awam dan pelaksanaannya.

Kepentingan Perkongsian Data

Salah satu rasional utama perkongsian data kerajaan adalah untuk memecahkan usaha-usaha silo di kalangan agensi dan membolehkan pendekatan yang lebih bersepadu. Walau bagaimana pun kepentingan perkongsian data secara spesifik diterangkan dalam Rajah 1.

Dapatan Kajian Persekitaran Perkongsian Data

a. Inisiatif Perkongsian Data Kerajaan

Kerajaan telah menyediakan beberapa inisiatif dalam memudah cara ke arah perkongsian data antara agensi kerajaan ke arah penyampaian perkhidmatan Kerajaan yang bersepadu dan berpacukan data termasuk memperkenalkan dasar dan panduan, pembangunan teknikal platform dan mewujudkan tadbir urus berkaitan pentadbiran dan pengurusan data. Antara inisiatif yang dimaksudkan adalah seperti dalam Rajah 2.

Rajah 2: Inisiatif Perkongsian Data Kerajaan

Analisis merumuskan bahawa Kerajaan telah mengiktiraf potensi transformatif teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) sejak tahun 2000. Inisiatif Kerajaan telah didorong oleh kesedaran mengenai kepentingan ketersediaan dan perkongsian data serta pembuatan keputusan Kerajaan berpandukan maklumat dalam memacu pertumbuhan ekonomi yang lebih rancak dan mampan. Dapatan juga melihatkan pertindihan di dalam dasar dan pelan tindakan yang diperkenalkan, namun setiap inisiatif ini mempunyai fokus dan objektif tersendiri. Ini menunjukkan bahawa komitmen Kerajaan dalam penambahbaikan proses dan pelaksanaan perkongsian data yang berterusan.

b. Perundangan di Malaysia

Kajian ke atas perundangan berkuat kuasa di Malaysia dapat membantu dalam mengenal pasti peruntukan yang mengekang dan isu-isu yang akan memberi kesan kepada pelaksanaan perkongsian data. Kajian dilakukan ke atas 852 Akta Persekutuan yang sedang berkuat kuasa dan mendapati sebanyak 215 Akta Persekutuan yang mempunyai peruntukan mengekang perkongsian data, sama ada secara konklusif ataupun bersyarat. Akta yang bersifat mengekang dikategorikan kepada mengekang tetapi boleh diatasi dengan memenuhi syarat dalam undang-undang itu sendiri; mengekang tetapi boleh diatasi dengan akta-akta lain; dan mengekang yang tidak boleh diatasi. Taburan kategori adalah seperti dalam Rajah 3.

Rajah 3: Dapatan Kajian ke Atas Akta Persekutuan

Kajian perundangan ke atas 713 enakmen dan ordinan negeri yang sedang berkuatkuasa di 13buah negeri di Malaysia berdasarkan pangkalan data LawNet. Kebanyakan negeri tidak mempunyai pangkalan data atas talian khas bagi menerbitkan secara rasmi perundangan yang telah diluluskan kerajaan negeri masing-masing. Analisis mendapati beberapa jenis sekatan yang terdapat dalam undang-undang negeri iaitu neutral berkenaan pendedahan maklumat, larangan pendedahan maklumat yang bersyarat dan larangan ketat pendedahan maklumat tertentu. Taburan enakmen dan ordinan negeri serta hasil dapatan adalah seperti di Rajah 4.

Rajah 4: Dapatan Kajian ke Atas Enakmen dan Ordinan Negeri

c. Penandaarasan Negara Luar

Kajian juga telah dilakukan ke atas sistem tadbir urus dan undang-undang negara-negara luar iaitu Kesatuan Eropah, United Kingdom, Amerika Syarikat, Singapura, Australia, Ireland dan Estonia. Amalan di negara-negara ini dianalisa untuk memahami perundangan dan amalan terbaik untuk dipertimbangkan bagi tujuan penggubalan RUU Perkongsian Data.

 Jadual 1: Dapatan Penandaarasan Negara Luar

Memandangkan setiap negara mempunyai amalan perkongsian data tersendiri yang unik, perkara yang boleh diambil kira dalam pembangunan perundangan di Malaysia adalah mengenai amalan perkongsian data di Kesatuan Eropah (EU), perundangan dan amalan perkongsian data di Singapura, Ireland, dan Australia pula boleh dijadikan panduan untuk memperbaiki dan mengawal selia perkongsian data sektor awam di Malaysia.

d. Tadbir Urus Perkongsian Data

Kerajaan telah mewujudkan pelbagai tadbir urus pengurusan data samaada di peringkat negara dan kementerian/agensi kerajaan dalam menjaga maklumat agensi masing-masing. Antara komponen yang wujud adalah seperti di Jadual 1.

Dapatan kajian mendapati pelbagai tadbir urus data yang diwujudkan dalam pengurus tadbir data di Malaysia. Pelarasan perlu dilakukan ke arah mewujudkan satu kaedah tadbir urus yang lengkap.

e. Kekangan Perkongsian Data

Kajian soal selidik yang dilaksanakan pada Jun 2024 dengan seramai 207orang responden daripada 94buah agensi sektor awam termasuk Pihak Berkuasa Tempatan, jelas mendapati bahawa terdapat pelbagai faktor yang menyebabkan kekangan dalam melaksanakan perkongsian data. Rajah 5 menunjukkan taburan dapatan.

Rajah 5: Jenis kekangan yang dihadapi oleh agensi Kerajaan

Cabaran Perkongsian Data

Hasil dapatan kajian ini pelbagai cabaran utama yang dikaitkan dengan perkongsian data pada masa ini ialah kebimbangan privasi data, risiko keselamatan penggunaan data, kekurangan penyeragaman format data dan simpanan, tiada perundangan berhubung perkongsian data yang menyokong dasar semasa berkaitan perkongsian data, kekurangan kepercayaan terhadap ekosistem perkongsian data antara pihak berkepentingan, serta kualiti dan ketepatan data tidak jelas. Rajah 6 menerangkan setiap cabaran yang dikenal pasti dalam perkongsian data sektor awam.

Rajah 6: Cabaran dalam perkongsian data

Kesimpulan

Penggubalan RUU Perkongsian Data merupakan salah satu penyelesaian bagi menangani kekangan perundangan dalam perkongsian antara sektor awam. RUU ini diperlukan bagi melancarkan proses perkongsian data antara agensi. RUU ini juga secara amnya bertujuan untuk mengatasi peruntukan-peruntukan yang mengandungi obligasi kerahsiaan untuk membolehkan perkongsian data sektor awam Di Malaysia. Dengan undang-undang yang jelas, agensi boleh meningkatkan proses perkongsian data mereka, melaksanakan perlindungan yang lebih baik untuk privasi dan keselamatan data. Peruntukan yang jelas mengenai proses perkongsian data memberikan ketelusan kepada, bukan sahaja agensi yang terlibat tetapi juga rakyat.

Rujukan

  1. Jabatan Digital Negara (2024, August). Laporan Kajian Perundangan ke arah Penggubalan Rang Undang-Undang Perkongsian Data Jilid 1 dan Jilid 2

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *