Aspirasi Ketua Pengarah Jabatan digital Negara

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Malaysia MADANI,

 

Alhamdulillah, setinggi-tinggi kesyukuran dipanjatkan ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah kurnia-Nya, e-Buletin Kerajaan Digital dapat direalisasikan sebagai wadah perkongsian ilmu, maklumat dan amalan terbaik dalam memperkukuh agenda pendigitalan sektor awam negara.

 

Saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada para penulis, pemain industri, ahli akademik serta semua individu yang telah menyumbangkan idea, pandangan dan kepakaran bagi menjayakan penerbitan e-Buletin ini. Sumbangan yang diberikan mencerminkan komitmen dan semangat kolaborasi antara sektor kerajaan, akademik dan industri dalam mendukung aspirasi Kerajaan Digital.

 

Dalam landskap digital yang berkembang pesat dan semakin mencabar, Jabatan Digital Negara (JDN) terus memainkan peranan strategik sebagai peneraju transformasi digital sektor awam. Pendigitalan bukan sekadar penerapan teknologi baharu dalam penyampaian perkhidmatan, sebaliknya melibatkan perubahan menyeluruh merangkumi tadbir urus, budaya kerja dan penyampaian perkhidmatan agar lebih cekap, tangkas dan berfokuskan rakyat.

 

Sehubungan itu, JDN memberi tumpuan kepada pelaksanaan inisiatif digital kerajaan yang selamat, berdaya tahan dan berorientasikan data, di samping memanfaatkan teknologi termaju seperti kecerdasan buatan (AI), automasi dan perkongsian data merentas agensi secara bersepadu. Dalam mendepani kemunculan teknologi ini, JDN memberi penekanan terhadap inovasi yang beretika, selamat dan berpaksikan kepercayaan bagi meningkatkan kecekapan operasi serta kualiti penyampaian perkhidmatan awam.

 

Penerbitan e-Buletin Kerajaan Digital ini diharapkan dapat menjadi medium perkongsian yang berkesan untuk menyebarluaskan inisiatif, inovasi dan amalan terbaik digital, di samping memupuk budaya kolaborasi dan perkongsian ilmu dalam kalangan warga sektor awam. Saya berharap e-Buletin ini dapat dimanfaatkan sebagai sumber rujukan dan inspirasi dalam memperkasakan perkhidmatan digital Kerajaan serta meningkatkan kepercayaan rakyat terhadap inisiatif pendigitalan yang dilaksanakan.

 

Akhir kata, marilah kita bersama-sama memperkukuh tekad dan iltizam bagi memastikan setiap inisiatif pendigitalan memberi manfaat sebenar kepada rakyat dan negara, selaras dengan aspirasi untuk membentuk perkhidmatan awam yang moden, inklusif dan berdaya saing.

 

“Menghubung, Menginovasi, Membina Masa Depan Digital Negara.”

Salam hormat,

TS. NIK ZALBIHA BINTI NIK MAT
Ketua Pengarah
Jabatan Digital Negara